PENDAHULUAN
Kita seringkali membicarakan soal hati yang diibaratkan seperti raja kepada sekalian anggota tubuh badan. Pepatah sendiri mengatakan, "Rosak hati badan binasa". Sebagaimana hadis Rasulullah SAW pernah menyebut,
“Ingatlah bahawa dalam jasad ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya; jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati.” (Imam Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengingatkan tentang kedudukan hati yang begitu tinggi dalam diri manusia. Oleh kerana itulah, manusia perlu kepada penjagaan hati yang begitu rapi untuk memperoleh kesucian jiwa yang hakiki. Orang yang tidak mejaga hati mereka dengan sempurna pasti tidak akan terlepas daripada sikap yang buruk seperti sombong, takabur, dengki dengan kelebihan yang ada pada orang lain, bongkak dengan apa yang ada pada diri sendiri, mengadu domba antara manusia, memfitnah sesama saudara, marah dan lain-lain lagi. Tanya pada diri, hakikatnya mengapa begini jadinya? maka jawablah, tuntutan kepada material dan kebendaan dan hawa nafsu yang kerap mengganggu gugat hati manusia.
Mengenal nafsu adalah cukup mudah. Namun, menundukkannya adalah amat payah. Sifat hati adalah sentiasa inginkan teman, sama ada bertemankan Iblis laknatullah ataupun Malaikat. Nafsu pula bersifat sementara, iaitu setelah keinginannya tercapai, maka ia akan merasa puas dengan apa yang diperolehnya, tetapi ia berkeinginan kepada lebih dari itu. Beruntunglah bagi mereka yang membenarkan hatinya berkawan dengan malaikat, kerana hatinya akan sentiasa mengarah anggota tubuh badannya ke arah kebaikan. Segala tingkah lakunya adalah bertunjangkan kepada perbuatan yang diredhai oleh Allah. Namun, rugilah bagi mereka yang menundukkan hati mereka kepada nafsu dan juga Syaitan, kerana bisikan hatinya bukanlah lagi ke arah kebenaran, bahkan boleh mengundang kepada kemurkaan Allah SWT.
Apabila hati itu telah bersih, pasti tuannya akan sentiasa mencari jalan menuju Allah SWT dalam keadaan jiwa yang tenang, aman damai dan tenteram, sentiasa ingat kepada Allah SWT, merasa cukup dengan apa yang ada, beramal soleh dan taat akan segala perintah Allah SWT. Oleh itu, bimbinglah hati kita dengan sebaik mungkin sebagai usaha membersihkan hati dari keadaan yang kotor kepada kemurniaan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk mengenal Allah SWT dan menghampirkan diri kepadaNya dalam mecari keredhaan-Nya.Carilah seorang doktor hati yang pakar dalam bidang kerohanian dalam membaiki hati dan juga hal-hal kebatinan yang ada dalam diri kita ini. Ambillah bai'ah dan talkin daripadanya, mudah-mudahan kita dapat membersihkan hati ini sebaik mungkin.
Begitu juga diwajibkan ke atas setiap mukallaf (akil yakni berakal, baligh yakni cukup umur, sampai seruan, sempurna hawasyi yakni tidak cacat pendengaran dan penglihatan)mempelajari ilmu tasauf yang merupakan ilmu bagi mengetahui segala perlakuan hati sama ada perlakuan terpuji mahupun tercela. Apakah itu ilmu tasauf? Insya Allah, kita akan bincangkan dengan lebih lanjut pada perbincangan yang akan datang. Sebagai hamba yang dhaif, saya memohon maaf sekiranya ada kekurangan pada catatan ini, maka itu bermakna kurangnya pengetahuan yang ada pada diri saya.
Akhir kalam, semoga apa yang ditulis memberi manfaat kepada diri saya sendiri, orang muda mahupun tua, saudara-saudara pencinta Ilmu tasauf, sahabat-sahabat dan seluruh Muslimin dan Muslimat.Wallaahu a'lam.
0 comments:
Post a Comment