Qiyamuhu Binafsih (Allah Tidak Berhajat Kepada
Sesuatu)
Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah tidak berhajat iaitu
tidak memerlukan kepada sesuatupun selain-Nya. Sebaliknya segala
makhluk adalah sebetulnya yang berhajat kepada Allah subhanahu wa
ta`ala.
Allah ta`ala berfirman:
يَآءَيُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Maksudnya :
“(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai
umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah
(dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”. (Surah Faathir : 15)
Dan firman Allah ta`ala lagi:
﴾ وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِ نَفْسِهِ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلْعَالَمِينَ ﴿ ٦
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan
sesuatupun) daripada sekalian (alam) makhluk (`Arasy, Kursi,
langit, tempat dan lain-lain)”. (Surah Al-Ankabut : 6)
• Apabila kita mengatakan Allah ta`ala berhajat kepada makhluk
yang diciptakan-Nya ,maka nescaya lemahlah Allah ta`ala.
Ini adalah kerana setiap sesuatu yang berhajat kepada sesuatu
yang lain ,pasti ia tidak sempurna .Mustahil Allah berhajat
kepada makhluk-makhluk-Nya bahkan segala makhluk yang
diciptakan-Nya adalah sebenarnya berhajat kepada-Nya.
“Maka Allah tidak berhajat kepada sesuatu”.
اللهُ خَلَقَ الإِنْسَانَ لا يَحْتَاجُ لِلإنْسَانِ.
اللهُ خَلَقَ الْمَلائِكَةَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْمَلائِكَةِ.
اللهُ خَلَقَ السَّمَاءَ لا يَحْتَاجُ إِلَى السَّمَاءِ.
اللهُ خَلَقَ الْعَرْشَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْعَرْشِ.
اللهُ خَلَقَ الْمَكَانَ لا يَحْتَاجُ إِلَى الْمَكَانِ.
Allah yang menciptakan manusia tetapi Allah tidak
berhajat kepada manusia.
Allah yang menciptakan malaikat tetapi Allah tidak
berhajat kepada malaikat.
Allah yang menciptakan langit tetapi Allah tidak
berhajat kepada langit.
Allah yang menciptakan `Arasy tetapi Allah tidak
berhajat kepada `Arasy.
Allah yang menciptakan tempat tetapi Allah tidak
berhajat kepada tempat.
Oleh itu, jelaslah bahawa Allah ta`ala tidak berhajat kepada
sesuatupun daripada makhluk-Nya. Bahkan Allah tidak berhajat
kepada segala ibadah yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.
Walaupun Allah ta`ala telah mensyariatkan solat, puasa, zakat, haji,
sedekah dan sebagainya, maka yang demikian itu bukan bermakna
Allah berhajat kepada segala ibadat yang disyariatkan-Nya itu. Bahkan,
segala manfaat hasil daripada pelaksanaan amal ibadat tersebut akan
dipersembahkan kepada si pelaku-Nya di akhirat nanti. Jadi ibadah
tersebut bukan merupakan suatu kepentingan bagi Allah ta`ala, tetapi
ia tidak lain hanyalah merupakan suatu kewajipan bagi manusia selaku
hamba Alla ta`ala. Allah ta`ala telah menyatakan di dalam al-Quran
berkenaan `Arasy.
Allah ta`ala berfirman:
﴾ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ ﴿ ١٢٩
Maksudnya :
“Dan Dialah yang memiliki `Arasy yang agung”. (Surah Al-
Taubah : 129)
Allah ta`ala berfirman:
“Dan (pada hari itu) Engkau akan melihat malaikat beredar
di sekeliling `Arasy Dengan bertasbih memuji Tuhan mereka,
serta mereka dihakimi Dengan adil; dan (masing-masing
bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan:
“Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan Yang memelihara dan
mentadbirkan seluruh alam”. (Surah Az-Zumar : 75)
• Hal ini terjadi pada ketika orang mu`min telah memasuki
syurga. Mereka melihat ketika di dalam syurga `Arasy Allah
dikelilingi oleh malaikat yang bertasbih memuji Allah ta`ala.
Allah ta`ala berfirman:
“Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup sangkakala
dengan sekali tiup, dan bumi serta gunung-ganang diangkat
(dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya Dengan sekali
hancur, maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, dan
terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan
runtuh), sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal
segala penjurunya, dan `Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul
oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat Yang mengawal
itu”. (Surah Al-Haqqah : 13-17)
Berdasarkan ayat-ayat di dalam surah Al Haqqah itu
dapat diambil beberapa `ibrah dan pengajaran :
1. Pada hari kiamat, ditiupkan sangkakala oleh malaikat Israfil.
Setelah ditiupkan, maka terjadilah kiamat besar.
2. Pada ketika itu bumi dan isinya iaitu seperti gunung, bukit,
kota, rumah, laut, sungai hancur lebur.
3. Langit dan isinya, bulan, matahari, bintang, planet, komet
semuanya hancur.
4. Malaikat-malaikat ketika itu pergi ke penjuru dunia dan 8
malaikat memikul `Arasy Allah ta`ala.
5. `Arasy itu tidak hancur pada hari kiamat kerana diselamatkan
oleh 8 malaikat.
6. Kesimpulannya, dalam ayat tersebut bahawa bumi, bintang,
matahari dan lain-lain semuanya musnah, sedangkan `Arasy
Allah ta`ala tidak musnah.
Adapun makhluk yang terbesar dari ciptaan Allah adalah ‘Arsy.
Sebagaimana sabdaan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam:
“مَا السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ فِي الْكُرْسِيِّ إِلاَّ كَحَلْقَةٍ مُلْقَاةٍ فِي أَرْضِ فَلاةٍ ، وَفَضَلُ
الْعَرْشِ عَلَى الْكُرْسِيِّ كَفَضْلِ الْفَلاةِ عَلَى تِلْكَ الْحَلْقَةِ “.
Maksudnya :
“Tidaklah tujuh lapisan langit dinisbahkan dengan Kursi
melainkan umpama cincin di padang yang lapang dan
keluasan `Arasy jika dibandingkan dengan Kursi seperti cincin
kecil terdapat di padang tersebut”. [Diriwayatkan oleh al-
Imam al-Baihaqi di dalam Kitab Asma’ Wa al-Sifat]
Hadis ini telah menjelaskan bahawa sesungguhnya `Arasy adalah
merupakan makhluk yang paling besar bentuk dan saiznya, ia berada di
bawah kekuasaan Allah ta`ala. `Arasy di letakkan di tempat yang sangat
tinggi dan `Arasy tersebut tidak akan sama sekali jatuh menimpa langit
dan bumi.
Al-Misbah al-Munir wa al-Sahabi al-Jalil wa al-Khalifah al- Rasyidin,
Sayyiduna `Ali ibn Abi Talib radiyallahu `anhu (W. 40 H)
berkata :
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan `Arasy (makhluk yang
paling besar) adalah untuk menampakkan dan menzahirkan
kekuasaan-Nya dan bukan untuk menjadikannya sebagai
tempat bagi Dzat-Nya”.
Daripada kenyataan Saiyidina `Ali radiyallahu`anhu ini jelas
menunjukkan bahawa Allah ta`ala menciptakan `Arasy bukan untuk
dijadikan tempat duduk bagi-Nya tetapi ia adalah untuk menampakkan
kekuasaan-Nya yang mampu menciptakan makhluk yang begitu besar.
Oleh itu jelaslah bahawa `Arasy adalah sebesar-besar makhluk ciptaan
Allah dan ia dikelilingi oleh para malaikat yang tidak terkira banyaknya
dan sentiasa bertasbih kepada Allah ta`ala.
Selain itu, perlu juga diketahui apakah definisi tempat di sisi para
ulama` bahasa supaya kita dapat memahami dan mengetahui dengan
yakin dan insaf bahawa Allah ta`ala sama sekali tidak berhajat kepada
tempat kerana tempat itu adalah makhluk ciptaan-Nya. Antara ulama`
yang mendefinisikan perkataan “tempat” ialah :
Al-Imam al-Lughawi al-Raghib al-Asfahani berkata :
“الْمَكَانُ عِندَ أَهْلِ الْلُغَةِ الْمَوْضِعُ الْحَاوِيْ لِلْشَّيْءِ”.
Maksudnya :
“Tempat di sisi pakar bahasa ialah tempat yang terkandung
padanya sesuatu.”
Al-Hafiz al-Lughawi Murtadha al-Zabidi al-Hanafi al-Hasany
berkata :
“الْمَكَاُن هُوَ الْمَوْضِعُ الْحَاوِيْ لِلْشَيْءِ”.
Maksudnya :
“Al Makan adalah tempat letak bagi sesuatu.”
Al-Syeikh Yusuf Sa`id al-Shofy al-Maliki berkata :
قَالَ أَهْلُ السُّنَّةِ : “الْمَكَانُ هُوَ الْفَرَاغُ الَّذِي يُحَلُّ فِيْهِ الْجِسْمُ”.
Maksudnya :
Berkata Ahlus-Sunnah : “Tempat merupakan suatu ruangan
kosong yang diisi oleh jisim”.
Al-Syeikh Salamah Al-Qodho`i Al-`Azami` al-Syafi`e berkata :
“الْمَكَانُ هُوَ الْوَضْعُ الَّذِي فِيْهِ الْجَوْهَرُ عَلَى قَدْرِهِ وَالْجِهَةُ هِيَ ذَلِكَ
الْمَكَانُ”.
Maksudnya :
“Al Makan ialah tempat bagi jauhar( jisim )mengikut saiznya,
arah pula adalah merupakan tempat itu sendiri” .
Al-Syeikh Kamaluddin al-Bayadhi al-Hanafi berkata :
“الْمَكَانُ هُوَ الْفَرَاغُ الَّذِيْ يُشْغِلُهُ الْجِسْمُ”.
Maksudnya :
“Al Makan( tempat )adalah ruang kosong yang dipenuhi oleh
jisim” .
Manakala di antara ulama` yang mendefinisikan “arah” adalah
Imam Al Lughawi Ibnu Manzur berkata :
“Dan arah( jihah )dan wijhah semuanya adalah tempat yang
kamu menghala dan menghadap kepadanya” .
Al-Hafiz al-Lughawi al-Faqih Muhammad Murtada al-Zabidi al-
Hanafi (W. 1205 H) berkata dalam kitabnya Ittihaf al-Sadat al-Muttaqin :
“Allah Ta`ala Maha Suci dari perubahan dari suatu keadaan
kepada suatu keadaan yang lain dan Maha Suci dari
perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.
Demikian juga( Allah Maha Suci juga dari sifat )berpisah dan
bersambung kerana semua sifat tersebut adalah sebahagian
daripada sifat-sifat makhluk.“
Maka jelas di sini makna-makna tempat dan arah sepertimana yang
dijelaskan oleh ulama` pakar bahasa. Ini menunjukkan bahawa Nabi
sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabat baginda mempercayai bahawa
Allah Ta`ala wujud tanpa bertempat dan arah seperti di atas `Arasy
atau di langit. Kemudian makna “tempat” dan “arah” harus dilihat dari
sudut bahasa arab kerana al-Quran diturunkan dengan bahasa arab.
Allah ta`ala berfirman :
“Al-Quran yang berbahasa arab.” (Surah Al-Zumar : 28)
Sesungguhnya Nabi kita lebih mengetahui bahasa arab berbanding
al-Mujassimah seperti golongan al-Wahhabiyyah dewasa ini yang berpegang
dengan zahir nas-nas al-Quran dan hadis yang bersifat al-Mutasyabihat
(samar-samar) iaitulah sekiranya ia dilihat secara zahirnya, maka
ayat-ayat tersebut seakan-akan menunjukkan bahawa Allah Ta`ala
mengambil tempat, beranggota dan sebagainya. Ta`alallahu`an Zalika
`Uluwwan Kabira…
0 comments:
Post a Comment