بسم الله الرحمن الرحيم
BAGAIMANA BERIMAN DENGAN AL-QURAN
Rukun Iman terdiri daripada enam perkara. Antaranya ialah keimanan kepada kitab-kitab. Kitab-kitab ini ialah kitab yang diwahyukan oleh Allah kepada para rasul. Terdapat empat buah kitab iaitu Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran.
Maksud Beriman dengan Kitab
Keimanan dengan kitab adalah kepercayaan bahawa kitab tersebut ialah kitab samawi yang diwahyukan oleh Allah kepada para rasul. Zabur diwahyukan kepada Nabi Daud. Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil kepada Nabi Isa, manakala al-Quran diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Itulah kadar keimanan yang dituntut dalam aspek keimanan kepada kitab-kitab.
Firman Allah yang bermaksud: “ Wahai orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah, dan rasul-Nya dan kitab yang Ia turunkan kepada rasul-Nya dan kepada kitab yang Ia turunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan hari akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (surah al-Nisa’ 4:136)
Dasar keimanan terhadap kitab-kitab selain al-Quran bukanlah bermakna kandungannya perlu diamalkan. Panduan dan pedoman hanyalah dengan al-Quran.Adapun kitab-kitab yang lain hanya diimani sebagai wahyu daripada Allah sahaja.
Dakwaan Bahawa al-Quran Bukan Kitab Suci
Dalam kejelasan aqidah yang jazam, muktamad dan pasti,ada pula pendapat dan teori yang mengatakan bahawa al-Quran bukanlah kitab suci. Pendapat ini sekadar menilai al-Quran sebagai sebuah buku sastera yang tinggi bahasanya. Maka al-Quran tidak perlu dimuliakan, malah kemuliaannya hanya setaraf dengan buku-buku yang lain.
Dakwaan bahawa al-Quran bukan kitab suci muncul hasil kajian beberapa tokoh yang juga masih dianggap Muslim. Malah ada dikisahkan peristiwa bagaimana seorang Muslim sanggup memijak sehelai kertas yang tertulis lafaz nama Allah. Ia satu pembuktian bahawa lafaz Allah tidak perlu dimuliakan, maka al-Quran juga tidak perlu dimuliakan.
Alangkah malangnya kefahaman bahawa al-Quran bukan kitab suci. Kalau dalam masyarakat agama lain, kitab-kitab agama mereka dianggap mulia dan suci. Dalam kristian, bible dianggap kitab suci dengan disebut sebagai holy bible. Apatah lagi berkaitan dengan kitab suci al-Quran.
Sifat-sifat yang dinisbahkan kepada al-Quran menggambarkan kemuliaan al-Quran, ia dianggap mulia dan suci. Contohnya rumah Allah. Kesuciannya menuntut agar ia dimuliakan dan dihormati. Bagi al-Quran, kesucian al-Quran menuntut agar ia dihormati,dimuliakan, dibaca,ditadabbur,dihayati dan diamalkan.
Oleh sebab itu, kesucian dan kemuliaan al-Quran hendaklah dijaga dengan sebaik mungkin. Perbuatan yang merendahkan martabat al-Quran amat tidak wajar sama sekali. Ia satu perbuatan yang menghina kemuliaan al-Quran.
Jagalah kesucian al-Quran dengan sentiasa membacanya. Jagalah kesucian kitab Allah dengan menghayati dan mentadabburkan ayat-ayat Allah. Jagalah kesucian al-Quran dengan menurut apa yang terkandung dalam kitab Allah.
0 comments:
Post a Comment