Kalam (Berkata)
Beriman kepada Allah adalah menyakini bahawa Allah berkata dengan
sifat kalam yang azali yang tiada permulaan dan kalam yang tidak
baharu. Sifat kalam-Nya tidak berhuruf, bersuara dan berbahasa seperti
makhluk-Nya. Maha Suci Allah daripada menyerupai makhlukmakhluk-
Nya. Perbahasan tentang sifat kalam adalah panjang, maka
oleh sebab itulah ilmu akidah juga dikenali dengan Ilmu Kalam kerana
perbahasan tentang sifat kalam ini telah diperbahaskan secara panjang
lebar di dalam ilmu tauhid.
Dalil yang menunjukkan Allah mempunyai sifat iaitu berkata-kata
seperti yang dinyatakan di dalam al Quran.
Allah ta`ala berfirman:
وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيماً
Maksudnya:
“Dan Allah ta`ala telah memperdengarkan kepada Musa
kalamNya”. (Surah An-Nisa’ : 164)
Firman Allah ta`ala :
إِنَّمَا قَوْلُنَا لِشَيْءٍ إِذَآ أَرَدْنَاهُ أَن نَّقُوْلَ لَهُ كُن فَيَكُوْنُ
Maksudnya :
“Sesungguhnya perkataan Kami (Allah) terhadap sesuatu
apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan
kepadanya: Kun (jadilah, maka jadilah ia”. (Surah an-
Nahl : 40)
Firman Allah ta`ala:
إِنَّمَآأَمْرُهُ إِذَآأَرَادَ شَيْئًا أَن َيقُوْلَ لَهُ كُن فَيَكُوْنُ
Maksudnya :
“Sesungguhnya urusan-Nya (Allah) apabila Dia menghendaki
sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, Kun (jadilah), maka
jadilah sesuatu itu”. (Surah Yasin : 82)
Ayat ini bermaksud bahawa Allah ta`ala mengadakan segala sesuatu
dengan ketiadaan penat, kesusahan dan dengan ketiadaan halangan
dari seseorang terhadap Allah ta`ala. Sesungguhnya Allah ta`ala menjadikan
sesuatu yang Dia kehendaki itu dengan bersegera, lagi dengan
ketiadaan terlewat. Ayat ini bukan menunjukkan bahawa Allah hendak
menjadikan sesuatu dengan mengatakan “KUN”, maka jadilah. Tetapi
maksud yang dikehendaki di sini ialah bagi menunjukkan mudahnya
Allah ta`ala dalam menjadikan sesuatu, bukan hanya semata-mata ber
kata “KUN” untuk menjadikan sesuatu makhluk. Ini adalah kerana
perkataan “KUN” itu sendiri berhuruf, bersuara dan mempunyai bahasa.
Sedangkan kalamullah tidak berhuruf, bersuara dan berbahasa.
Adapun golongan mujassimah (golongan yang menyamakan Allah
dengan makhluk dan mengatakan Allah itu berjisim) mengatakan bahawa
Allah ta`ala menyebut dengan huruf “Kaf dan Nun” ketika menjadikan
sesuatu daripada segala makhluk-Nya. Perkataan seumpama
ini tidak akan dikeluarkan oleh manusia yang sejahtera akalnya. Maka
fahaman seperti ini akan menyebabkan penjisiman terhadap Allah dan
ia menyebabkan penganut kepada fahaman ini dihukum kufur.
Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqh al-Absat:
“Allah mempunyai sifat kalam yang tidak menyerupai
pembicaraan kita, kita berbicara menggunakan organ-organ
pembicaraan dan huruf, sedangkan kalam Allah tidaklah
dengan organ-organ pembicaraan (mulut, lidah, tengkok, air
liur) dan huruf.”
Mustahil pada akal sekiranya wujud fahaman yang mengatakan bahawa
Allah bersifat dengan sifat-sifat baharu .Ini adalah kerana Dzat
Allah adalah bersifat qadim .Oleh kerana Dzat Allah itu qadim ,maka
sifat-Nya juga turut qadim .Oleh yang demikian kalamullah bukanlah
terdiri dari huruf, suara mahupun bahasa kerana semua tersebut adalah
merupakan sifat makhluk. Allah tidak dikatakan “sebut” bahkan
dikatakan berkata-kata/ berfirman kerana berkat-kata tidak semestinya
berlaku dengan sesuatu huruf dan lontaran suara. Adapun perkataan
“sebut” yang demikian itu lebih menjurus kepada sebutan sesuatu perkataan
yang terangkum daripada dua juzu’ iaitu huruf dan suara.
Al Quran, Taurat, Injil, Zabur dan suhuf-suhuf sekiranya ia di rujuk
kepada kalam dzati iaitu sifat kalam yang ada pada Dzat Allah ta`ala
maka ianya bukanlah huruf, suara atau bahasa. Sekiranya ia merujuk
kepada kalam yang diturunkan atau lafaz yang diturunkan (lafz al-munazzal)
yang sebahagiannya berbahasa Arab, Suryani atau Ibrani, maka
ianya adalah makhluk. Namun begitu ini bukan bermakna ia adalah
ciptaan atau rekaan manusia mahupun malaikat, bahkan sebenarnya ia
merupakan ibarat yang menunjukkan kepada kalam dzaatiy yang tidak
disifatkan sebagai berbahasa Arab dan lain-lain. Walaupun demikian
kedua-duanya (kalam dzati dan kalam al-munazzal) tetap disebutkan
sebagai Kalamullah.
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, terdapat dua istilah ‘Kalamullah’ :
Pertama : Istilah yang merujuk kepada Kalam Dzati maka ia bukanlah
suara, huruf mahupun bahasa, bahkan Kalam Dzati adalah bersifat
azali (tidak ada permulaan) dan abadi (tidak ada pengakhiran).
Kedua : Manakala istilah (lafz al-munazzal) merupakan kalam yang
diturunkan oleh Allah kepada sekalian manusia. Lafz al-Munazzal terdiri
daripada huruf dan bahasa, ada permulaan dan pengakhiran.
Berdasarkan carta ini, dapat memudahkan lagi untuk kita memahami
sifat Kalam Allah.
KALAM LAFZ ALMUNAZZAL
Merupakan ibarat kepada Kalam
Al-Dzati yang terdiri dari huruf,
suara, bahasa, ada permulaan dan
pengakhiran
KALAM AL-DZATI
Merupakan sifat bagi Allah
ta`ala yang azali (yang tidak
ada permulaan), bukan
berhuruf dan bersuara
Dalil bahawa al-Quran diistilahkan kepada kalam yang diturunkan
ialah melalui firman Allah ta`ala:
يُرِيْدُوْنَ أَنُ يبَدِّلُواْ كَلامَ اللهِ
Maksudnya :
“Mereka (iaitu orang kafir) hendak mengubah Kalamullah”.
(Surah Al Fath : 15)
Maksud ayat ini ialah orang kafir ingin mengubah isi kandungan
al-Quran yang diturunkan ini iaitu Lafz al-Munazzal bukannya mengubah
Kalamullah yang merupakan Sifat Dzati bagi Dzat Allah.
Merujuk kepada istilah yang kedua (Lafz al-Munazzal), ianya datang
dari Allah juga, bukanlah rekaan malaikat mahupun Nabi. Allah
telah memerintahkan Malaikat Jibril supaya mengambil al Quran di
Lauh al-Mahfuz untuk diturunkan kepada nabi-nabiNya. Maka Jibril
telah mengambil al Quran 30 juzuk itu dan diturunkan ke Baitul `Izzah
dan Sayyiduna Jibril alaihissalam telah menurunkan al Quran 30
juzuk kepada Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam berpandukan
peristiwa yang berlaku seperti mana yang dikehendaki oleh Allah
secara beransur-ansur. Jibril membaca al-Quran dengan huruf
dan suara dalam Bahasa Arab yang didengar oleh Nabi Muhammad
sallallahu`alaihi wasallam, kemudian Nabi pula membacakannya serta
memperdengarkannya kepada para sahabat sehinggalah sampai kepada
kita sekarang.
Berlainan pula pada hari kiamat kelak dimana setiap manusia akan
mendengar kalamullah yang azali abadi yang bukan huruf, suara dan
bahasa dimana mereka memahami setiap perkara yang diajukan oleh
Allah.
Contoh untuk lebih mudah difahami adalah seperti berikut :-
Lafaz atau kalimah ALLAH merupakan ibarat kepada ‘ Dzat Tuhan
Yang Azali lagi Abadi ‘, Yang Maha Suci lagi Maha Agung yang mempunyai
segala sifat kesempurnaan. Apabila kita sebut “ kami sembah
Allah ” maka maksudnya seperti di atas.
Apabila kita tuliskan atas white board perkataan “Allah” sebagai
contoh, lalu kita soal seseorang; “ apakah ini ? ” Pasti dijawab ; “Allah”.
Jawapan ini bermakna kalimah Allah tersebut merupakan ‘ibarat
(menunjukkan) kepada Dzat Allah Yang Azali Abadi yang disembah,
bukannya perkataan atau huruf itu sendiri adalah Allah.
Golongan muktazilah dihukum kafir oleh Ahl al-Sunnah Wa al-
Jama`ah kerana mereka beriktikad Allah tidak bersifat dengan sifat Kalam
atau dalam erti kata lain mereka menafikan sifat tersebut. Inilah
yang disebutkan sebagai Ahli Ta’til. Mereka berkata Allah menciptakan
kalam pada yang lain. Seperti kisah Nabi Musa mereka mengatakan ‘
Allah ciptakan kalam pada sepohon pokok, maka pokok tersebutlah
yang berkata-kata dengan Nabi Musa. Allah tidak bersifat dengan sifat
Kalam. Wal`iyaazubillaah...
Golongan musyabbihah (menyamakan Allah dengan makhluk) pula
dihukum kafir kerana beri`tiqad bahawa Kalamullah mempunyai suara,
huruf dan bahasa. Sekiranya benar demikian, maka samalah kalam
Allah dengan kalam manusia. Jika Kalam Allah dan kalam manusia
adalah sama maka sudah tentulah kalam-Nya baharu seperti sifat kalam
manusia. Ini adalah i`tiqad yang batil lagi sesat. Maha Suci Allah
daripada menyerupai makhluk-makhluk-Nya.
Oleh yang demikian, barangsiapa mengatakan al-Quran yang wujud
sekarang di dalam mushaf sebagai makhluk, tidaklah kafir tetapi
haram. Ianya tetap ditegah kerana dibimbangi berlaku salah faham
lalu ada yang beri`tiqad Kalamullah yang merupakan sifat bagi Allah
itu adalah makhluk. Adapun di dalam majlis ilmu tidak mengapa kerana
ianya dihuraikan secara terperinci untuk penjelasan dan kefahaman.
Barangsiapa yang beri`tikad bahawa kalamullah adalah baharu, maka
ia dihukum kufur.
0 comments:
Post a Comment