Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang
wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan
lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan
keislaman mereka.
Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Maksudnya :
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan
Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan
Allah”.
Perhatian : Lafaz ashhadu ( أشهد ) yakni “aku bersaksi” mengandungi
tiga makna serentak iaitu:
أعلم) . 1 ) yakni “aku mengetahui”,
أعتقد) . 2 ) yakni “aku mempercayai” dan
أعترف) . 3 ) yakni “aku mengiktiraf”.
Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan
iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului
dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah
didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan
dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika
seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai
atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta
sebagaimana orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran
Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam,
bahkan mereka mengenali baginda sepertimana mereka mengenali
anak-anak mereka sendiri, namun disebabkan sikap degil dan bongkak
mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa
oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam.
Makna Kalimah Syahadah Pertama:
أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai)
dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui)
dengan lidah bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya
melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal
lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat
kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta,
Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha
Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesuatu
yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki
oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak
ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat
dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci
dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.
Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan
(merujuk kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada),
al-Qidam (sedia ada), al-Baqa’ (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith
(bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada
makhluk), al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah
(berhendak), al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar),
al-Basar (melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran
(keadaan Allah ta`ala yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah
ta`ala yang berkehendak), Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala
yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaan Allah ta`ala yang hidup),
Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala yang mendengar), Kaunuhu
Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat), Kaunuhu Mutakalliman
(keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).
Makna Kalimah Syahadah Kedua:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad
ibn `Abdullah ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf
al-Qurashi sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-
Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad
dan keyakinan bahawa baginda telah diputerakan dan dibangkitkan
sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke
bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua
perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada Allah iaitu
mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara-perkara yang
akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum
syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat
kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam
barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca
amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga, melihat
Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa
bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan
hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan
para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada` dan
qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya
baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh keturunan
Nabi Adam alaihissalam.
0 comments:
Post a Comment