CARIAN ANDA

Tuesday, 1 February 2011

Iktibar...

Bismillahhirrahmannirrahim.

Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam

Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa

Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati

Dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa

Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran

Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai

Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa

Melainkan zat Allah Taala, Dialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum

Manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadhrat Allah Taala

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA

Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah

Yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah

Dengan sebenar-benarnya melainkan Allah

Dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA,

Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu

Iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut

Janganlah kamu berdukacita dan risau

Serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA

Bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala,

Sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala

Apabila mereka menyuruh kamu duduk,

Mereka juga akan menyoal kamu

Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka

Dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul

Janganlah berasa gementar, janganlah cuak

Dan janganlah bergopoh-gapah

Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,

Muhammad nabiku,

Islam agamaku,

kitab suci Al-Quran ikutanku,

Baitullah itu kiblatku,

Malahan solah lima waktu,

Puasa di bulan Ramadhan,

Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku,

Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,

Bahkan dari masa hidup hingga aku mati

Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu

Inilah dia suatu dugaan yang paling besar

Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh

Sehingga sampai satu masa kelak,

Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA,

Bahawasanya mati ini adalah benar

Soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar

Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar

Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar

Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar

Minum di kolam air nabi adalah benar

Ada syurga dan neraka adalah benar

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya

Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa

Akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah

Dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala

Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu

Tuhan jua yang menetapkan hati kamu

Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala

Menjinakkan hati kamu yang liar

Dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu

Yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini

Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan

Dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak

diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Setiap yang bernafas, pasti akan mati

Firman Allah swt, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-A’sr

Dari Abdullah bin ‘Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat…”

0 comments:

Post a Comment

 
hakcipta terpelihara PAKAR SISTEM | Nikmatilah Gaya Hidup Sempurna - | ,