HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA:
• Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam agama Islam da...n beramal dengan syariat Islam.
• Untuk menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh.
• Lafaz Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab.
• Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Imam al-Syafi`e.
• Orang yang dilahirkan di dalam Islam dan beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang diterima olehnya adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih.
• Menurut ulama’ dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai usia baligh dengan niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama’ dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama’ mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah adalah wajib dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat menjadi sah.
• Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar.
• Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.
Oleh itu setiap manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang kewujudan Allah ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Seseorang itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di bawa oleh Rasulullah adalah benar belaka tanpa ada syak, zhan dan waham.
الْجَزْمُ يُخْرَجُ مِنْهُ: الْشَكُّ، الْظَنُّ، الْوَهْمُ.
Al-Jazm dikeluarkan daripadanya : Syak (ragu-ragu), Zan (melebihi percaya daripada tidak), Waham (melebihi ketidakpercayaan daripada percaya).
مُوَافِقٌ لِلْحَقِّ يُخْرَجُ مِنْهُ: جَاهِلٌ بَاسِطٌ، جَاهِلٌ مُرَكَّبٌ
Selari dengan kebenaran dikeluarkan daripadanya: Jahil basit (tidak mempunyai pengetahuan sama sekali), jahil murakkab (jahil yang tersusun iaitu tidak sedar bahawa dirinya jahil)
عَنْ دَلِيْلٍ: أَيْ لَيْسَ تَقْلِيْدًا
Daripada dalil: tidak boleh bertaqlid.
Maksud taqlid iaitu orang yang mengikut tanpa belajar dan apabila ditanya maka individu tersebut tidak dapat mengeluarkan dalil dalam perkara yang berkaitan dengan akidah.
Sekiranya seseorang itu bertaqlid (mengikut) kepada orang yang tidak betul iaitu golongan yang terkeluar dari landasan akidah yang sahih walau dengan jazam sekalipun tetap dihukumkan sebagai tidak beriman.
Sekiranya seseorang itu berbertaqlid (mengikut) kepada orang yang beraqidah sahih iaitu yang berada di atas landasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Hukumnya terbahagi kepada tiga:
1. Sekiranya dia bertaqlid (mengikut) dengan jazam (putus), maka dia dikira beriman tetapi dihukum fasiq iaitu berdosa walaupun beriman. Ini pendapat yang muktamad.
2. Tidak dikira beriman walau dia bertaqlid dengan jazam sekalipun. Ini pendapat yang dhaif.
3. Sekiranya dia bertaqlid tetapi tidak jazam, maka dirinya tidak dikatakan sebagai beriman walaupun yang diikutinya itu adalah orang yang sahih aqidahnya.
Kesimpulannya, syarat untuk mengenal Allah ada empat:
1. Tahu dengan belajar (talaqqi).
2. Yakin dengan keyakinan yang jazam (putus).
3. Berpegang dengan perkara yang sebenar iaitu Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
4. Besertakan dalil iaitu dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma` ulama’ dan qias.
0 comments:
Post a Comment